Selasa, 08 Januari 2013
Semoga ALLAH SWT Denga RAHMATNYA masukan kita ke dalam SURGANYA tanpa HISAB
Tanbihul Ghafilin Abul Laits
As-Samarqandi dalam kitab beliau Tanbihul Ghafilin atau Peringatan Bagi
Yang Lupa. Menceritakan perihal Syurga. Abul-Laits meriwayatkan
dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Ya Rasullullah, dari
apakah dibuat syurga itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Dari air." Kami
bertanya: "Beritakan tentang bangunan syurga." Jawab Nabi Muhammad
s.a.w.: "Satu bata dari emas dan satu bata dari perak, dan lantainya
kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara
dan yakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak
mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya." Kemudian Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam doa yang tidak akan tertolak:
Imam (pemimpin, hakim) yang adil, dan orang puasa ketika berbuka dan
orang yang teraniaya, maka doanya terangkat diatas awan, dilihat oleh
Tuhan lalu berfirman: "Demi kemuliaan dan kesabaranKu, Aku akan bela
padamu walau hanya menanti masanya." Abul-Laits meriwayatkan dengan
sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
" Sesungguhnya didalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang
berkenderaan dapat berjalan dibawah naungannya selama seratus tahun
tidak putus naungannya, bacalah: Wa dhillin mamdud (Yang bermaksud) Dan
naungan yang memanjang terus. Dan didalam syurga kesenangannya yang
tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga, bahkan tidak
pernah terlintas dalam hati (perasaan) manusia. Bacalah kamu: Fala
ta'lamu nafsun maa ukh fia lahum min qurrati a'yunin jazza'an bima kanu
ya'malun (Yang bermaksud) Maka tidak seorang pun yang mengetahui apa
yang tersembunyi bagi mereka dari kesenangan yang memuaskan hari
sebagai pembalasan apa yang telah mereka lakukan. Dan tempat pecut
didalam syurga lebih baik dari dunia siisinya. Bacalah ayat: Faman
zuhziha aninnari wa udkhillal jannata faqad faza (Yang bermaksud) Maka
siapa dijauhkan dari api dan dimasukkan dalam syurga bererti telah
untung." Ibn Abbas r.a. berkata: "Sesungguhnya didalam syurga ada
bidadari yang dijadikan dari empat macam iaitu misik, ambar, kafur dan
za'faran, sedang tanahnya dicampur dengan air hidup (hayawan), dan
setelah dijadikan maka semua bidadari asyik kepadanya, andaikan ia
berludah dalam laut tentu menjadi tawar airnya, tercantum
dilehernya(barangkali seperti kalung atau lokek): Siapa yang ingin
mendapat isteri seperti aku, maka hendaklah taat kepada Tuhanku."
Mujahid berkata: "Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari misik, dan
urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan
zabarjad, sedang daun dan buahnya dibawah itu, maka siapa yang makan
sambil berdiri tidak sukar, dengan duduk juga tidak sukar, dan sambil
berbaring juga tidak sukar, kemudian membaca ayat: Wa dzulillat
quthufuha tadzlila. (Yang bermaksud) Dan dimudahkan buah-buahnya
sehingga semudah-mudahnya. Sehingga dapat dicapai oleh orang yang
berdiri maupun yang duduk dan berbaring. Abu hurairah r.a. berkata:
"Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya
ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu
didunia bertambah tua." Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari
Shuhaib r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Apabila ahli syurga telah masuk kesyurga dan ahli neraka telah masuk
keneraka, maka ada seruan: Hai ahli syurga, Allah akan menepati
janji-Nya kepada kamu. Mereka berkata: "Apakah itu, tidakkah telah
memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan
kami kedalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah
membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihatNya, demi
Allah yang jiwaku ada ditanganNya belum pernah mereka diberi sesuatu
yang lebih senang daripada melihat zat Allah." Anas bin Malik r.a.
berkata: "Jibril datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. membawa cermin putih
yang ditengahnya ada titik hitam, maka Nabi Muhammad s.a.w. bertanya
kepada Jibril: "Apakah cermin yang putih ini?" Jawabnya: "Ini hari
Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada dihari Jumaat, telah
dikurniakan untuk mu dan untuk ummat mu, sehingga ummat-ummat yang
sebelumnya berada dibelakangmu, iaitu Yahudi dan Nashara (kristian) dan
saat dihari Jumaat, jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk
kebaikan pada saat itu pasti ia akan diterima oleh Allah, atau
berlindung kepada Allah dari suatu bahaya, pasti akan dihindarkannya,
dan hari Jumaat dikalangan kami (Malaikat) dinamakan Yaumal Mazid (hari
tambahan)." Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi: "Apakah Yaumal Mazid
itu?" Jawab Jibril: "Tuhan telah membuat lembah disyurga Jannatul
Firdaus, disana ada anak bukit dari misik kasturi dan pada tiap-tiap
hari Jumaat disana disediakan mimbar-minbar dari nur (cahaya) yang
diduduki oleh para Nabi, dan ada mimbar-mimbar dari emas bertaburan
permata yaqut dan zabarjada diduduki para siddiqin, suhada dan solihin,
sedang orang-orang ahli ghurof (yang dibilik syurga) berada dibelakang
mereka diatas bukit kecil itu berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk
memuja muji kepada Allah, lalu Allah berfirman: "Mintalah kepadaKu."
Maka semua minta (Kami mohon keridhaanMu) Jawab Allah:"Aku telah redho
kepadamu, keridhoan sehingga kamu Aku tempatkan dirumahKu dan Aku
muliakan kamu." Kemudian Allah menampakkan kepada mereka sehingga
mereka dapat melihat zatNya, maka tidak ada hari yang mereka suka
sebagaimana hari Jumaat kerana mereka merasa bertambahnya kemuliaan dan
kehormatan mereka. Dalam lain riwayat: Allah menyuruh kepada
Malaikat: "Berikan makan kepada para waliKu.", maka dihidangkan
berbagai makanan maka terasa pada tiap suap rasa yang lain dari
semuanya, bahkan lebih lazat sehingga bila selesai makan, diperintahkan
oleh Allah: "Berikan minum kepada hamba-hambaKu." maka diberi minum
yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah
selesai maka Tuhan berfirman: "Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang
Aku janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta, nescaya Aku berikan
permintaanmu." Jawab mereka: "Kami minta ridhoMu. kami minta ridhoMu."
dua tiga kali. Dijawab oleh Allah: "Aku ridho kepadamu bahkan masih ada
tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan
penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima." Maka
dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat dzat Allah yang Maha
Mulia sekehendak Allah, maka segera mereka bersujud kepada Allah
sekehendak Allah sehingga Allah menyuruh mereka: "Angkatlah kepalamu
sebab kini bukan masa beribadat." Maka disitu mereka lupa pada
nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat
lebih besar daripada melihat dzat Allah yang Maha Mulia. Kemudian mereka
kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arsy dari bukit kasturi
yang putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas ubun-ubun kuda
mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat
bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka
sehingga isteri-isteri mereka berkata: "Kamu kini lebih elok dari yang
biasa." Abul-Laits berkata: "Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi
mereka untuk melihat-Nya. Dan erti melihat kepadaNya iaitu melihat
kebesaran yang belum pernah terlihat sebelumnya tetapi kebanyakkan ahli
ilmu mengertikan: Melihat dzat Allah tanpa perumpamaan." Ikrimah
berkata: "Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang berumur 33 tahun lelaki
dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta, setinggi
nabi Adam a.s. muda-mudi yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola
matanya, memakai tujuh puluh macam perhiasan, yang berubah warnanya
tiap-tiap jam, tujuh puluh macam warna, maka dapat melihat mukanya
dimuka isterinya, demikian pula didadanya, dibetisnya, demikian pula
isterinya dapat melihat wajahnya diwajah suaminya, didada dan
dibetisnya, mereka tidak berludah dan tidak beringus, lebih-lebih yang
lebih kotor, maka lebih jauh." Dalam lain riwayat: "Andaikan seorang
wanita syurga menunjukkan tapak tangannya dari langit nescaya akan
menerangi antara langit dan bumi." Abul-Laits meriwayatkan dengan
sanadnya Zaid bin Arqam r.a. berkata: "Seorang ahlil kitab datang kepada
Nabi Muhammad s.a.w. dan bertanya: "Ya Abal-Qasim, apakah kau nyatakan
bahawa orang syurga itu makan dan minum?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:
"Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada ditanganNya, seorang ahli syurga
diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum dan jima
(bersetubuh)." Dia berkata: "Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya
berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kekotoran? Jawab Nabi
Muhammad s.a.w. : "Hajat seseorang itu berupa peluh yang berbau harum
bagaikan kasturi." Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Mu'tah
bin Sumai mengenai firman Allah s.w.t.: "Thuba lahum wa husnu ma ab."
Thuba ialah pohon pokok disyurga yang dahannya dapat menaungi tiap
rumah disyurga, didalamnya berbagai macam buah dan dihinggapi
burung-burung besar sehingga bila seorang ingin memakan burung dapat
memanggilnya dan segera jatuh diatas meja makannya, dan dapat makan
sayap yang sebelah berupa dinding(kukus, sup terlebih kurang serupa)
dan yang lain berupa panggangan, kemudian bila telah selesai ia terbang
kembali." Dari Al'amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah r.a.
berkata: Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Rombongan pertama akan
masuk syurga dari ummatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang
berikutnya bagaikan bintang yang amat terang dilangit, kemudian sesudah
itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang
air, tidak berludah dan tidak ingus, sisir rambut mereka dari emas dan
ukup-ukup mereka dari kayu gahru yang harum dan peluh mereka kasturi
dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s.
enam puluh hasta." Ibn Abbas r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda: "Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, polos, halus, tidak
ada rambut kecuali dikepala, alis dan idep (dikelopak mata), sedang
janggut, kumis, ketiak dan kemaluan polos tidak ada rambut, tinggi
mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi
Isa a.s 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada
mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: "Hai waliyullah, saya
telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan
buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya
gorengan, maka dimakan oleh orang itu sekuatnya." Dan tiap orang wali
mendapat tujuh puluh perhiasan, tiap perhiasan berbeza warna dengan
yang lain, sedang jari-jarinya ada sepuluh cincin, terukir pada yang
pertama: Salam alaikum bima shobartum, dan yang kedua: Ud khuluha
bisalamin aminin, yang ketiga : Tilkal janatullati urits tumu ha bima
kuntum ta'malun, yang keempat: Rufi'at ankumul ahzana wal humum, yang
kelima: Albasakum alhuli wal hulal, yang keenam Zawwa jakum ul hurul
iin, yang ketujuh: Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun
wa antum fiha khalidun, yang kelapan: Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin,
yang kesembilan: Shirtum syababa laa tahromun dan yang kesepuluh:
Sakantum fi jiwari man laa yu'dzil jiran." Ertinya: 1. Salam alaikum
bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu) 2. Ud
khuluha bisalamin aminin (Masuklah kesyurga dengan selamat dan aman)
3.Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun (Itulah syurga
yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu) 4. Rufi'at ankumul
ahzana wal humum ( Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan
dukacita) 5. Albasakum alhuli wal hulal (Kami berimu pakaian dan
perhiasan) 6. Zawwa jakum ul hurul iin (Kami kahwinkan kamu dengan
bidadari) 7. Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa
antum fiha khalidun (Untuk mu dalam syurga segala keinginan dan
menyenangkan pandangan matamu.) 8. Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin
(Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin) 9. hirtum syababa
laa tahromun (Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya) 10. Sakantum
fi jiwari man laa yu'dzil jiran (Kamu tinggal dengan tetangga yang
tidak mengganggu tetangganya.) Abul-Laits berkata: "Siapa yang ingin
mendapat kehormatan itu hendaklah menepati lima perkara ini iaitu: 1.
Menahan dari maksiat kerana firman Allah s.w.t.: "Wa nahannafsa anil
hawa fainnal jannat hiyal ma'wa yang bermaksud "Dan menahan nasfu dari
maksiat maka syurga tempatnya." 2. Rela dengan pemberian yang
sederhana sebab tersebut dalam hadis: "Harga syurga itu ialah tidak
rakus pada dunia." 3. Rajin pada tiap taat dan semua amal kebaikan
sebab kemungkinan amal itu yang menyebabkan pengampunan dan masuk
syurga seperti firman Allah s.w.t. : "Itu syurga yang diwariskan
kepadamu kerana amal perbuatanmu." 4. Cinta pada orang-orang yang soleh
dan bergaul dengan mereka sebab mereka diharapkan syafa'atnya
sebagaimana dalam hadis: "Perbanyaklah kawan kerana tiap kawan itu ada
syafa'atnya pada hari kiamat." 5. Memperbanyakkan doa dan minta masuk
syurga dan husnul khotimah. Sebagaimana ahli hikmah berkata: "Condong
kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti satu kebodohan dan tidak
bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti
lemah malas dan di syurga ada masa istirehat tidak dapat dirasakan
kecuali oleh orang yang tidak pernah istirehat didunia dan ada kepuasan
yang tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang meninggalkan
berlebihan didunia, dan cukup dengan kesederhanaan yang ada didunia.
Ada seorang zahid makan sayur dan garam, lalu ditegur oleh orang: "Kamu
cukup dengan itu tanpa roti?" Jawabnya: Saya jadikan makanan ini untuk
syurga sedang kau jadikan untuk w.c, kau makan segala yang lazat dan
akhirnya ke w.c, sedang saya makan sekadar untuk menguatkan taat, semoga
saya sampai kesyurga." Ibrahim bin Adham ketika masuk ketempat
permandian dilarang oleh penjaganya: "Jangan masuk kecuali jika membayar
wangnya." Maka ia menangis dan berdoa: "Ya Allah, seorang untuk masuk
kerumah syaitan tidak diizinkan tanpa wang, maka bagaimana saya akan
masuk ketempat para Nabi dan Siddiqin tanpa upah?" Tersebut dalam wahyu
yang diturunkan pada sebahagian para Nabi itu: "hai Anak Adam, kau
membeli neraka dengan harga mahal dan tidak mau membeli syurga dengan
harga murah." Ertinya: Adakalanya pengeluaran untuk maksiat itu banyak
dan ringan, tetapi untuk sedekah kebaikan sedikit dan berat." Abu Hazim
berkata: "Andaikata syurga itu tidak dapat dicapai kecuali dengan
meninggalkan kesukaannya didunia, nescaya itu ringan dan sedikit untuk
mendapat syurga, dan andaikan neraka itu tidak dapat dihindari kecuali
dengan menanggung semua kesukaran-kesukaran dunia, niscaya itu ringan
dan sedikit disamping keselamatan dineraka. Padahal kamu dapat masuk dan
selamat dari neraka dengan sabar menderita satu peratus dari
kesukaran." Yahya bin Mu'adz Arrazi berkata: "Meninggalkan dunia berat
tetapi meninggalkan syurga lebih berat, sedang maharnya syurga ialah
meninggalkan dunia." Anas bin Malik r.a berkata: "Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda: "Siapa yang minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka
syurga berdoa: "Ya Allah, masukkan ia kesyurga" dan siapa berlindung
kepada Allah dari neraka tiga kali maka neraka berdoa: "Ya Allah,
hindarkan ia dari neraka." Semoga Allah s.w.t. menghindarkan kami dari
neraka dan memasukkan kami kedalam syurga. Dan andaikan didalam syurga
itu tidak ada apa-apa kecuali bertemu dengan kawan-kawan nescaya itu
sudah enak dan baik, maka bagaimana padahal disyurga itu segala
kehormatan dan kepuasan itu semua ada. Anas bin Malik r.a. berkata:
"Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Didalam syurga ada pasar tetapi tidak
ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika
didunia, dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan si
kaya, dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur
sehingga sampai ke syurga." Abul-laits meriwayatkan dengan sanadnya
dari Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: "Manusia semua akan berdiri
didekat neraka, kemudian mereka menyeberang diatas sirat (jambatan)
diatas neraka, masing-masing menurut amal perbuatannya, ada yang
menyeberang bagaikan kilat, ada yang bagaikan angin kencang, ada yang
bagaikan kuda yang cepat larinya, dan seperti lari orang, dan ada yang
bagaikan terbang burung, dan ada yang seperti unta yang cepat dan yang
akhir berjalan diatas kedua ibu jari kakinya, kemudian tersungkur dalam
neraka dan sirat itu licin, halus, tipis, tajam semacam pedang, berduri
sedang dikanan kirinya Malaikat yang membawa bantolan(seperti cemeti
yang bercangkuk-cangkuk) untuk membantol (menyeret) orang-orang, maka
ada yang selamat, ada yang luka-luka tetapi masih selamat dan ada yang
langsung tersungkur kedalam api neraka, sedang para Malaikat itu
sama-sama berdoa: "Robbi sallim saliim" (Ya Tuhan, selamatkan,
selamatkan) dan ada orang yang berjalan sebagai orang yang terakhir
masuk kesyurga, maka ia selamat dari sirat, terbuka baginya pintu syurga
dan merasa tidak ada tempat baginya disyurga, sehingga dia berdoa: "Ya
Tuhan, tempat saya disini." Jawab Tuhan: "Kemungkinan jika Aku beri
kamu tempat ini lalu minta yang lainnya." Jawabnya: "Tidak, demi
kemuliaanMu." Maka ditempatkan disitu, kemudian diperlihatkan kepadanya
tempat yang lebih baik, sehingga dia merasakan kerendahan tempat yang
diberikan kepadanya, lalu ia berkata: "Ya Tuhan, tempatkanlah aku
disitu." Dijawab oleh Tuhan: "Kemungkinan jika Aku beri kamu tempat ini
lalu minta yang lainnya." Jawabnya: "Tidak, demi kemuliaanMu." kemudian
diperlihatkan kepadanya syurga yang lebih baik, sehingga ia merasa
bahawa tempatnya masih rendah, tetapi ia diam tidak berani minta
beberapa lama sehingga ditanya: "Apakah kau tidak minta?" Jawabnya:
"Saya sudah minta sehingga merasa malu." Maka firman Allah s.w.t.:
"Untukmu sebesar dunia sepuluh kali, maka inilah yang terendah tempat
disyurga." Abdullah bin Mas'ud berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. jika
menceritakan ini maka tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya." Dalam
hadis: "Diantara wanita-wanita didunia ini ada yang kecantikannya
melebihi dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika didunia." Firman
Allah s.w.t.: "Inna ansya'nahunna insya'a, fija'alnahunna abkara
uruban atraba li ash habil yamin." yang bermaksud: "Kami cipta mereka
baru dan Kami jadikan mereka tetap gadis yang sangat kasih dan cinta,
juga tetap sebaya umurnya, untuk orang-orang ahlil yamin." Semuanya
dari Alloh milik Alloh untuk disebar luaskan demi tegaknya Islam..
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar